loader
ICGloBDE2026 Tekankan Pendekatan Berteraskan Manusia dalam Era Teknologi
02/10/2026
342
preview

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Perniagaan Global dan Ekonomi Digital Kali Ke-2 (ICGloBDE2026) pada 29 dan 30 September 2026 bagi membincangkan hala tuju perniagaan dalam era digital.

Persidangan bertemakan "Business 5.0: Integrating Human-Centric Approaches with Technology in Global Business" itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dato' Dr. Fariza Md Sham semalam di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Beliau menegaskan manusia perlu kekal sebagai pemacu teknologi, bukan sekadar pengikut.

"Teknologi mesti menyokong, bukan menggantikan nilai kemanusiaan. Persoalannya bukan sekadar apa yang boleh dilakukan oleh teknologi, tetapi apa yang sepatutnya dilakukan teknologi untuk manusia," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat MDEC, Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit berkata aktiviti ICT dan e-dagang menyumbang RM451.3 bilion atau 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024, dengan sasaran 30 peratus menjelang 2030 di bawah Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 (MD2030).

Beliau berkata MDEC telah mengenal pasti beberapa sektor yang berpotensi besar dipacu pendigitalan dan AI, iaitu pertanian, penjagaan kesihatan, kewangan, pelancongan, bandar pintar, kandungan kreatif seperti permainan video dan animasi, serta industri halal.

"AI tidak lagi terhad kepada pasukan teknologi. Akauntan, ahli ekonomi, penyelidik, peguam dan pembuat dasar perlu memahami kesan AI dan data terhadap kerja mereka," katanya.

Beliau menambah, universiti berperanan memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian komersial, perniagaan dan teknologi baharu.

ICGloBDE2026 menampilkan tujuh trek pembentangan, antaranya transformasi digital, analitik data, perakaunan dan kewangan, fintech dan kewangan Islam serta ekonomi dan kelestarian.

Persidangan ini turut disokong rakan strategik termasuk Open University Malaysia (OUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), International Open University, University of Anbar, ReSkills, The AI Collective Kuala Lumpur, UnBound, Gump, Hummingsoft, Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia dan Ultra Cleaning.

 

Peringkat
Antarabangsa
Kongsi

Lampiran